Wednesday, August 20, 2014

TEMA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-57


"Malaysia di sini lahirnya sebuah cinta", hari ini diumumkan sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-57. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tema itu dipetik daripada lirik lagu "Warisan" dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

"Saya percaya tema itu akan memberikan kesan mendalam dan lahirkan semangat kecintaan terhadap negara dalam hati semua rakyat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Kemerdekaan ke-57.
Beliau juga berharap pemilihan tema itu tidak akan dipolitikkan oleh mana pihak.
Sambutan kemerdekaan tahun ini bermula dengan program doa untuk Malaysia pada 15 Ogos di Masjid Putra, diikuti Kempen Kibar Jalur Gemilang dijadualkan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 16 Ogos.
Kemuncak sambutan iaitu acara perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos manakala sambutan Hari Malaysia pula di Sarawak pada 16 September.
Ahmad Shabery berkata selain itu Konsert Harmoni Uniti yang menggabungkan artis Malaysia dan Indonesia simbolik kepada semangat kesatuan serantau antara kedua- dua negara juga akan diadakan.
"Bagi mengimbau kenangan konsert Chow Kit Road (oleh Sudirman pada 1986) selain menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat menerusi lagu- lagu Sudirman Konsert Chow Kit Road 2.0 akan diadakan," katanya.
Konsert selama tiga hari bermula 29 Ogos itu dijadual berlansung di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Program Minggu Merdeka pula akan diadakan dari 28 Ogos hingga 1 September dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai laman patriotik dengan pelbagai segmen menarik seperti karnival, pameran, seminar, jualan, pertunjukan dan pelbagai aktiviti berkaitan, katanya. - Bernama, 24 Jun, 2014.

KLIK Download Lagu Tema untuk MP3.

No comments: